KASIH AGUNG SEORANG LELAKI


Arwah idola saya. Dulu keluarga saya pernah susah. Arwah selalu berpesan, kalau mahu buat sesuatu, buatlah sampai sukses, sampai berjaya dan jangan sesekali bersikap tamak. Dia selalu menyokong apa sahaja kemahuan dan tak pernah marah saya.

“Dia juga tidak pernah meragui anak-anak, kakak saya pernah tiga kali ambil peperiksaan LCE, tapi ayah tetap sabar. Masa saya nak jadi penyanyi, dia tak pernah mempersoalkan malah sentiasa menyokong.”

Menurut Hattan juga, bapanya pernah bergelar usahawan berjaya namun nasib adakala tidak menyebelahi, pernah arwah bapanya jatuh terduduk dan terpaksa menoreh getah demi sesuap nasi untuk keluarga.

“Arwah pernah jadi tauke balak, tapi kami pernah jatuh miskin dan ayah sanggup jadi penoreh untuk pastikan kami cukup makan. Dia juga jenis yang tak pernah cakap pasal susah atau tiada duit depan anak-anak.

“Masa sekolah, saya pernah tinggal di asrama dan perlukan duit untuk bayar yuran. Bila suarakan pasal duit, ayah ajak saya sama-sama panjat pokok kundang, petik buah dan jual. Ayah berikan duit jualan untuk saya bayar yuran,” cerita Hattan menahan sebak.

Menyambung kisah dalam sendu yang cuba ditahan, katanya: “Pernah ayah berbohong kepada kami, katanya dah makan, sedangkan sebenarnya dia belum makan, dia berlapar demi anak-anak. Dia macam tu, itu yang buat saya sedih bila terkenangkan dia.”

Kepayahan hidup adakala sebuah ujian. Faktor itulah yang mendorong kembara Hattan bergelar anak seni hanya untuk suka-suka. Datang ke Kuala Lumpur, tekadnya bulat mahu mencari rezeki untuk mengubah hidup sekeluarga.

Pengorbanan bapa menjaga, mendidik dan memberikan haluan buatnya memang tidak terbayar dengan wang ringgit. Sedikit-sebanyak, didikan arwah bapa menjadi pegangan Hattan untuk mendidik satu-satu anaknya, Adam Eiman yang sedang membesar.

“Sekurang-kurangnya saya cuba membalas jasa keluarga. Pertama kali dapat duit royalti sebagai penyanyi, saya hantar ibu bapa saya mengerjakan ibadah haji. Niat di hati nak belikan ayah kereta, tapi usianya tidak panjang. Dia meninggal dunia sebulan selepas kembali dari Tanah Suci,” beritahu Hattan dalam sebak yang masih bersisa.

Ketika hayat, arwah bapanya ada keinginan untuk menempatkan keluarga, ibu serta tujuh orang adik-beradik dalam sebuah rumah besar.

“Itu impian dia, impian itu yang cuba saya tunaikan. Saya berikan semua itu kepada emak saya yang masih hidup,” beritahu Hattan di huung perbualan.

Itulah antara lambang kasih seorang anak. Buat anak-anak yang masih punya ayah dan ibu, jangan tunggu sedikit masa atau hari esok untuk menunjukkan kasih kalian.

0 comments:

Post a Comment