Keajaiban kismis : snek berkhasiat



Ramai yang melihat harga kismis agak mahal, sedangkan snek ringan lain yang mungkin sama harga dengan kismis tidak menyediakan khasiat kepada anak-anak.



Menurut Pakar Pembangunan Kanak-Kanak di sebuah hospital tempatan, Ruth Liew, ramai yang semakin lupa bahawa, kismis mempunyai kandungan gula daripada buah yang asli. Ia mampu memberi tenaga yang konsisten kepada kanak-kanak.

"Memang gula-gula mampu memberi tenaga yang lebih, tetapi ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hiper dan menjadi lemah apabila kandungan gula itu mula merosot.
"Berlainan dengan kismis. Dengan kismis, kanak-kanak akan dapat tenaga yang seimbang dan menyihatkan badan.

"Ia juga makanan ringan yang lebih baik daripada gula-gula. Gula-gula boleh meninggalkan kesan kerosakan pada gigi kanak-kanak dan tenaga yang diperoleh juga tidak sekata," jelas Ruth pada satu sesi penerangan tentang kebaikan kismis kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, kanak-kanak masa kini tidak lagi gemar dengan makanan yang terlalu pelbagai, sebaliknya mereka lebih gemar makanan yang lebih santai. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu menjadikan kismis sebagai snek makanan ringan untuk anak-anak yang masih bersekolah.


Dalam Islam, kismis sudah lama disaran untuk pemakanan kanak-kanak kerana ia adalah makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius.

Menyedari kebaikan kismis dan kemampuannya menjadi snek dalam makanan kanak-kanak, masyarakat Barat turut mula mengambilnya dalam diet mereka.


Penelitian Christine D.Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi.

Antara antioksidan itu adalah asid oleanolic, oleanolic aldehyde, betulin, asid betulin dan 5-(hydroxymethyl)-2-furfural. Asid oleanolic mampu menghambat pertumbuhan dua spesies bakteria penghuni mulut iaitu streptoccus mutan, penyebab plak dan kerosakan gigi serta porphyromonas gingivalis, penyebab penyakit periodontal.

Sementara itu, pakar pemakanan dari sebuah hospital swasta, Tan Yen Sing, berkata, kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.

"Malah, khasiat daripada kismis juga boleh mengurangkan risiko strok dan melemahkan perkembangan penyakit-penyakit organ dalam badan.

0 comments:

Post a Comment