Showing posts with label hak pengguna. Show all posts
Showing posts with label hak pengguna. Show all posts
Lapor pada PIAM jika anda dipaksa
PEMBELI insurans kenderaan yang 'dipaksa' membeli produk perlindungan atau perkhidmatan lain boleh membatalkan polisinya dan mendapat semula premium yang sudah dibayar daripada syarikat insurans.
Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), berkata ia menerima beberapa aduan pemilik kenderaan bahawa mereka ‘dipaksa’ membeli produk insurans lain antaranya, perlindungan kemalangan diri sebagai syarat untuk membeli insurans kenderaan.
Katanya, PIAM tidak akan membiarkan mana-mana pihak mengamalkan ‘paksaan’ pembelian sebarang produk insurans atau perkhidmatan.“Jika berlaku perkara seperti paksaan pembelian dibuat, syarikat insurans dikehendaki membatalkan perlindungan itu dan menyediakan pembayaran balik sepenuhnya premium kepada pengadu,” tegas PIAM dalam satu kenyataan semalam.Persatuan itu menambah, jika terdapat ejen yang berdegil, tindakan boleh diambil termasuk menggantung dan menamatkan tugasnya serta menarik balik semua komisyen yang diterima daripada pelaksanaan urus niaga seumpama itu.
Katanya, ia sudah menetapkan garis panduan jelas bagi membolehkan tindakan diambil ke atas ejen dan syarikat insurans yang terbabit dalam jualan paksa perlindungan insurans.“Walaupun syarikat insurans dan ejen masing-masing boleh merayu atau menggalakkan pembeli polisi perlindungan kenderaan untuk mengambil polisi bukan permotoran, dalam apa juga keadaan mereka tidak boleh memaksa pembeli membeli polisi bukan permotoran,” tambah kenyataan itu.
Sebarang aduan berhubung syarikat dan ejen insurans berkaitan jualan ‘paksa’, boleh diajukan kepada Biro Tindakan Aduan, Persatuan Insurans Am Malaysia, Tingkat 3, Wisma PIAM, 150 Jalan Tun Sambanthan, 50470 Kuala Lumpur atau di 03-22747399.
Kenderaan NGV ibarat Bom Bergerak
PETALING JAYA: Beribu-ribu kereta di jalan raya yang menggunakan gas asli (NGV) sebagai bahan api diibaratkan seperti ‘peluru berpandu bergerak dengan bom’ kerana tangki gas yang dipasang tidak menepati piawaian.Setiausaha Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), S Piarapakaran mendakwa kebanyakan tong gas dipasang di bengkel haram dan mekanik yang tidak berkelayakan.
Katanya, penyelidikan Wecam menunjukkan pemilik kenderaan mengabaikan aspek keselamatan dengan menggunakan bahan dan hasil kerja tidak bermutu untuk jimatkan beberapa ringgit.“Malah, tidak ada badan yang cekap di negara ini untuk mengawal dan memantau kenderaan NGV,” katanya kepada Bernama.Beliau berkata, oleh kerana gas adalah bahan mudah terbakar, pemasangan tangki gas tidak bermutu dan hos getah mudah bocor menyebabkan letupan ketika pelanggaran.“Bayangkan kemusnahan alam sekitar dan kehilangan nyawa jika kenderaan itu melalui lebuh raya sibuk,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengambil langkah segera mengurangkan bahaya akibat pemasangan tangki gas yang tidak mengikut peraturan.Beliau mencadangkan polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan khidmat bantuan Sirim dan badan berkelayakan untuk memantau kenderaan NGV.Persatuan itu juga mencadangkan pemeriksaan dan penguatkuasaan berkala terhadap keselamatan NGV, menggunakan alat gantian tulen, mengurangkan kos pemasangan tangki gas oleh penjual dibenarkan dan mengadakan sistem pendaftaran bagi menentukan bilangan NGV.
Sementara itu, Persatuan NGV Malaysia (Mangva) memberi jaminan penggunaan tangki gas selamat dan tidak membahayakan.Pengerusinya, M Suaparmanyam, berkata sejak berita mengenai kemalangan membabitkan kenderaan NGV itu dilaporkan, ramai pemandu kenderaan terbabit bimbang mengenai tahap keselamatan mereka.“Sebenarnya, pengguna atau orang ramai tidak faham atau tidak memperoleh maklumat yang relevan mengenai sifat NGV. Gas ini tidak meletup atau menyebabkan kebakaran ke atas sesuatu benda.“Musibah boleh berlaku apabila pengguna mengabai langkah pencegahan,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)