Perompak alam maya


Sedar atau tidak, kemajuan IT bukan hanya sekadar membawa kemudahan maklumat tetapi menjadi kaedah terbaru bagi penyangak maya merompak duit orang. Hanya satu panggilan telefon, sepucuk e-mel atau SMS sudah cukup untuk mengosongkan akaun seseorang.
UNCLE Kok, 53, bukan generasi pengguna teknologi maklumat (IT). Malah, satu-satunya gajet paling kerap digunakannya setiap hari cuma sebuah telefon rumah.

Namun, lelaki yang merupakan seorang pengarang sambilan ini cukup peka dengan perkembangan semasa termasuk risiko ancaman rompakan maya. Meskipun tidak celik IT, Kok sedar risiko tersebut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Suatu hari, Kok menerima panggilan yang memintanya agar memindahkan wang di dalam akaun banknya ke akaun pihak lain.
Alasannya, duit simpanan Kok dalam bank tersebut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. Si pemanggil mendakwa hanya dengan cara pemindahan itu, wang simpanan Kok boleh diperoleh semula.

Kok pada awalnya cukup meragui dakwaan tersebut. Lalu, dia cuba mendapatkan pengesahan daripada si pemanggil yang mendakwa dirinya adalah pegawai bank tersebut.


Setelah mendengar 'pengesahan' berkali-kali yang cukup meyakinkan, Kok terus bergegas ke bank. Di kaunter bank, dia telah membuat pemindahan sebanyak tiga kali dengan harapan segalanya akan kembali seperti asal.

Malangnya, selepas pemindahan wang tersebut dibuat, barulah dia sedar betapa dirinya telah diperbodohkan. Pada saat itu, sudah terlewat untuk dia mendapatkan semula wangnya sebanyak kira-kira RM50,000 itu.

Kisah di atas mungkin hanyalah satu contoh klasik betapa mudahnya kita dimanipulasi oleh orang lain. Biarpun tidak memerlukan sebarang gajet canggih sekali pun, maklumat peribadi tetap berisiko terdedah tanpa kita sedari.

Berbeza dengan penggunaan medium teknologi seperti Internet atau rangkaian sosial, mangsa lebih cenderung untuk terpedaya.

Seorang kerani yang hanya mahu dikenali sebagai Zurina, 27, pula pernah berkali-kali menerima surat rasmi menerusi e-mel daripada bank akaun simpanannya. E-mel itu memintanya mengemaskini maklumat peribadi dan tanpa disangka, pendedahan itu telah menyebabkannya kerugian ribuan ringgit.

PENGGODAM atau penyangak maya suka menyasarkan entiti seperti bank.
Pakar IT dalam aspek keselamatan, Muhamad Hazrul Mohamed Hamzah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini berkata, terdapat satu terma yang merujuk pada bentuk manipulasi ini iaitu Kejuruteraan Sosial (Social Engineering).
"Istilah Kejuruteraan Sosial ini mungkin kedengaran baru. Tetapi ia sebenarnya satu seni penipuan sama ada secara bersemuka atau menerusi medium lain seperti Internet dan gajet yang telah berlaku sejak sekian lama.
"Penipuan ini biasanya dilakukan untuk memperoleh maklumat peribadi dan sulit daripada seseorang tanpa kerelaannya," katanya yang sudah lebih lima tahun berkecimpung dalam aspek keselamatan IT.
Menurut Muhamad Hazrul, lazimnya sasaran golongan penyangak ini hanyalah satu iaitu untuk mendapatkan akses data dan maklumat secara tidak sah. Trend masa kini lebih menjurus kepada rompakan maya yang tidak berpenghujung.
Memetik contoh penipuan pelanggan-pelanggan bank menerusi e-mel, penyangak akan membuat 'pertaruhan' dengan menghantar jutaan e-mel kepada bakal mangsanya.
"Bayangkan, penyangak hanya memerlukan seorang mangsa yang memberi maklumbalas dan itu sudah bermakna tipu helahnya berjaya. Satu lagi, ramai antara generasi IT hari ini, masih memandang remeh lampiran fail-fail dalam e-mel.
"Setiap kali, kita klik pada satu lampiran fail, tidak mustahil ia mengandungi malware yang akan memantau aktiviti perkomputeran dari tempat lain," jelasnya dengan terperinci.
Pola taipan kekunci akan direkodkan dan membantu penyangak mengenal pasti minat pengguna. Misalnya, pengguna yang kerap menggunakan space bar bererti dia seorang penggemar mainan video.
Dengan hanya berpandu pada 'pembayang' ini, penyangak akan mengirim e-mel bertemakan mainan video kepada mangsa.

"Apabila ini berlaku, pengguna perlu berhati-hati sewaktu membuka e-mel. Elakkan daripada mengklik sebarang lampiran kecuali selepas anda mengesahkan ia daripada sumber yang dikenali.

"E-mel bersifat penipuan (phishing) dari bank biasanya menggunakan istilah-istilah umum. Sebagai contoh, kandungan e-mel yang berbunyi Dear Valued Customer ataupun ..... your account is going to be closed merupakan indikasi ia satu penipuan atau spam," kata seorang lagi pakar IT, Muhammad Shahriman Samsudin.

Masalahnya, rakyat Malaysia terlalu percaya kepada entiti seperti bank sedangkan wujud golongan penyamar yang mendahagakan jalan pintas memperoleh wang.

Muhammad Shahriman turut menasihat pengguna komputer supaya tidak memuat naik terlalu banyak gambar atau maklumat peribadi dalam platform rangkaian sosial.

Platform seperti Facebook, MySpace dan Twitter yang sedang hangat dalam kalangan orang muda khasnya, sangat berisiko tinggi menjadi sasaran penggodam.

MUHAMMAD SHAHRIMAN memberitahu pemacu storan juga perlu diimbas oleh beberapa perisian antivirus sebelum digunakan.
Menggelarkan platform-platform ini sebagai Syurga Informasi Peribadi secara percuma, Muhammad Shahriman memberitahu, penggodam 'suka memancing di kolam yang banyak ikan'.
"Jangan sangka kalau dalam keadaan komputer yang dipadamkan, penggodam tidak mampu berbuat apa-apa. Sebenarnya, mereka telah lama memantau anda dari jauh.
"Jadi, sentiasa berjaga-jaga dan mengemaskini perisian antivirus. Tidak ketinggalan pemacu storan (thumbdrive) perlu diimbas oleh lebih daripada dua perisian antivirus," tambahnya.

Lidah kelu sekali lagi....bodoh dan kejam


Nenek jumpa cucu baru lahir dalam semak
(inilah gambar bayi berkenaan, bagaimana perasaannya nanti bila dewasa, menegetahui bahawa ibunya sendiri hampir membunuhnya)

TANAH MERAH - Seorang wanita terkejut apabila terjumpa bayi yang baru sahaja dilahirkan dikerumuni kerengga dalam semak di belakang rumahnya di Kampung Alor Tapah, Bukit Gading di sini semalam.

Lebih mengejutkan lagi, ibu bayi perempuan yang masih bertali pusat itu adalah anak kandungnya, seorang remaja berusia 16 tahun yang cuba menyembunyikan kelahiran tersebut.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, remaja tersebut dipercayai hamil tanpa pengetahuan ibunya telah bersalin seorang diri di belakang rumahnya dan meninggalkan bayinya di situ.
"Ibu remaja tersebut yang berusia 30-an terdengar tangisan bayi di bela- kang rumahnya pada pukul 8 pagi lalu terus pergi mencari dan terkejut melihat seorang bayi perempuan dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Selepas memandikannya, wanita yang juga nenek bayi terbabit memaklumkan kepada penduduk kampung serta jururawat desa sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah oleh pihak polis.

Abdul Aziz berkata, terdapat kesan gigitan kerengga di bahagian kepala dan badan bayi itu ketika ditemui.


Jelasnya, polis menahan remaja tersebut yang dipercayai telah melahirkan bayi tersebut pada pukul 4 pagi.


Abdul Aziz memberitahu, ahli keluarga remaja tersebut dipercayai tidak mengetahui remaja itu mengandung sehingga melahirkan bayi berkenaan.


Kosmo 17 Julai 2009

__________________

awasi keluarga anda, anak-anak jiran......berikan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya.

artis kantoi PTPTN


KUALA LUMPUR - Artis dan komposer terkenal, Faizal Tahir (gambar) gagal menaiki pesawat untuk menghadiri majlis Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 di Jakarta semalam dipercayai akibat tidak menjelaskan hutangnya dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Kosmo! difahamkan, Faizal sepatutnya menaiki pesawat bersama beberapa rakan artis seperti Ayu, Dafi dan Aizat pada pukul 3.55 petang menerusi Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang semalam.

Namun, Faizal satu-satunya artis yang gagal melepasi saringan Imigresen kerana PTPTN sebelum ini telah mengenakan perintah sekatan keluar negara kepada hampir 78,000 peminjam yang tidak menjelaskan hutang.

Usaha mendapatkan komen Faizal, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bagaimanapun gagal kerana beliau tidak menjawab panggilan telefon.
Kosmo 17 Julai 2009

Semakin ramai orang bukan Islam memilih produk perbankkan Islam dan takaful sedangkan mereka mempunyai pilihan yang lain. Mengapa?

Orang Islam tiada pilihan, wajib atas mereka memastikan segala instrumen kewangan yang diguna bebas dari riba, maisir dan gharar.









Perlindungan Kewangan dan Tabung Pencen


PELAN JAMINAN KEWANGAN
Langkah bijak anda menabung hari ini bagi menjamin masa depan anda sekeluarga

tuntut ilmu

Apabila menyebut mengenai ilmu pengurusan kewangan peribadi, hampir kesemua perancangan kewangan akan memecahkannnya kepada 6 aspek :

1. Simpanan
2. Perlindungan kewangan (Insurans)
3. Pengurusan Hutang
4. Tabung Pencen
5. Tabung Perubatan
6. Tabung Pendidikan Anak

Kemahiran yang paling kritikal pada tahap ini ialah kemahiran “simpan duit”. Yup.. “simpan duit”, sesuatu yang kelihatan mudah dan agak membosankan. Tetapi realitinya… ramai yang gagal melakukannya..

Untuk menguasai ilmu & kemahiran pengurusan kewangan ini… ia tidak sukar dan tidak memerlukan belanja yang besar untuk menguasainya..Ânda hanya perlukan pembacaan yang banyak untuknya… Alhamdulilah.. kini, sudah banyak buku mengenai pengurusan kewangan yang berbahasa melayu di pasaran.. antaranya..
Jutawan Dari Planet Jupiter - Azizi Ali
Cukup Wang Hati tenang - Hajah Rohani



sila lawati laman ini.

7 kesilapan lazim

JIKA anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti terlebih dulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan supaya anda dapat belajar daripadanya.

Gagal Merancang

Alasan yang selalu diberikan oleh mereka yang tidak merancang kewangan ialah "Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya". Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat `merancang kewangan' akan membolehkan anda menjadi seorang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.


Berbelanja Melebihi Kemampuan

Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan juga iklan di sekeliling kita. Ramai yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang amat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan selepas ditolak bayaran pelbagai pinjaman, kad kredit, bil dan sebagainya.

Berbelanja Menggunakan Kad Kredit

Tabiat beli dulu dan bayar kemudian adalah perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad. Dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum terbabit, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari.Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Justeru, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat.


Lewat Menabung Untuk Hari Tua

Untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah.


Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian

Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Justeru, pastikan anda meneliti ciri sesuatu produk pelaburan berkenaan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.


Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan

Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama jika kita hilang pendapatan/pekerjaan. Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.


Terlampau Memikirkan Pasal Wang

Dalam usaha memupuk tabiat merancang kewangan, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan.


Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri mengenai kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.

Artikel ini disediakan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC). Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan tip pelaburan bijak.